Monday 4 July 2016

Ramadan Jangan Pergi

Masih teringat dua tahun yang lalu.

Saat pengumuman itu menyapa telinga Mayam seolah satu khabar gembira yang sangat terasing sepanjang hidupnya.

"Duli-duli yang maha mulia,..."

Begitulah lebih kurang kedengarannya. ;)

Hati sudah menari girang. Bagi Mayam, itu adalah Ramadan yang pertama sejak 19 tahun beliau menghirup udara di bumi Allah. Kehadiran bulan yang mulia itu disambut dengan linangan air mata kegembiraan. Sapaannya lebih bererti kerana ia hadir dengan satu keyakinan, iatu menjadi satu bonus untuk lebih meningkatkan Taqwa.

.

"Salah satu waktu yang afdhal untuk berdoa adalah detik hampir berbuka puasa.."

Entah kuasa apa yang merasuk Maya,  jika dahulu mungkin dia ternanti nanti waktu berbuka puasa kerana tidak sabar-sabar menjamah juadah yang enak. Tapi tidak saat itu, 10 minit sebelum berbuka dia sudah bergerak ke surau untuk menghadap Rabb yang maha penyayang.

Tidak tergambar perasaan saat itu. Hampir tiap kali menadah tangan, air hangat mengalir ke pipi Maya. Setiap aliran hangat itu seolah olah meleraikan butir-butir dosa silam. Kelaparan yang dirasakan sepanjang hari hilang ditelan kekhusyukan menghadap Tuhan.

Azan berkumandang.

Hanya sebiji kurma dan sehirup air kosong sudah cukup bagi Dia. Kerana rasa tidak sabar menyembamkan dahi ke sejadah melebihi segalanya.

Saat itu Maya tidak mahu apa-apa selain rahmat dan pengampunannya.

.

Ramadan kali ini hadir saat peperiksaan menjelang tiba. Jika dahulu Maya sentiasa mengalami dilema, samada mahu terawih atau mengulangkaji. Tapi pada ketika itu, cintanya benar-benar mengatasi segala. Usai solat terawih Maya akan tidur awal.

;)

Tiap hari Maya tidak akan melepaskan peluang untuk bangun menghadap AlKhaliq. Masih terngiang di minda, saat kuliah selepas maghrib, penyampai mengatakan Allah turun ke bumi saat satu pertiga malam untuk benar-benar mendengar hambanya merintih.

Manakan mungkin Maya melepaskan peluang itu. Seolah orang yang mabuk cinta. Satu hari tidak bangun malam, pasti akan ternanti-nanti malam yang akan datang keesokan hari.

Mungkin saat itu, iman telah masuk ke dalam hati Maya yang dahulu hitam kelam. Di celahan hitam itu, ada cahaya yang menembusi.

.

Alunan bacaan Quran sentiasa meniti di bibir Maya. Dia yakin, Allah sedang berbicara dengannya. Saat tadabbur yang benar-benar menyentuh perasaan, dia tanpa segan silu berkongsi rasa dengan orang lain. Maya merasakan cinta yang sungguh indah. Masakan tidak timbul perasaan untuk membiarkan orang lain merasai sesuatu yang sama.

.

Detik berlalu. Ramadan yang hadir untuk seketika mengundurkan diri. Maya tersenyum dan berharap saat dan minit berhenti.

Di dalam hatinya berharap agar pelajaran untuk Ramadannya yang pertama menjadi bekal perjalanan hidup yang baru bermula.

Allahhuma barik lana Fi Rajab wa Syaban wa balighna Ramadhan.

Ramadan, moga ketemu lagi, bisik Maya.